Monday 6 May 2013

Pencetak mini untuk telefon pintar

Pencetak mini untuk telefon pintar
PD233

LG Electronics (LG) memperkenalkan satu peranti terbaru dalam memudahkan penggunanya mencetak gambar secara terus selepas diambil melalui telefon pintar atau tablet.
PD233 adalah pencetak poket mini yang memberikan kualiti cetakan gambar terbaik dan pantas. Hanya perlu menyambungkan telefon pintar dengan pencetak melalui sambungan WiFi.


Pencetak poket mini ini boleh digunakan untuk pengguna telefon pintar Android dan iOS. Pencetak yang kecil ini sangat menarik dan mempunyai bentuk luaran yang stylish.

Ia menjadi pencetak terkecil dan paling ringan dengan hanya berat 215 gram dan ukuran sekitar 72 x 120 x 24 mm, membolehkan senang membawanya ke mana saja termasuk meletakkan di dalam poket baju atau dalam beg tangan.

Tidak hairanlah jika LG menyasarkan untuk golongan yang sentiasa sibuk atau kepada mereka yang melancong. Ia boleh dijadikan sebagai poskad kenangan sewaktu melancong.

Hasil cetakan dari pencetak ini akan berukuran 5.1 x 7.6 cm, saiz yang sangat praktikal untuk dikongsi atau dijadikan kenangan.
Pengguna hanya perlu muat turun aplikasi pencetak ini dan seterusnya hanya perlu menyambungkan telefon pintar dengan pencetak poket mini dan boleh terus mencetak dengan pantas.

Kamera aksi sukan

Kamera aksi sukan
Kecil-kecil cili padi. Itulah kelebihan yang terdapat pada CamOne iaitu kamera aksi sukan Full HD untuk semua kegiatan memandangkan saiznya yang kecil, mudah dikendalikan dan hanya seberat 77 gram.

Pelbagai jenis pemegang membolehkan anda melekatkan kamera itu hampir di mana-mana saja termasuk topi keledar, pemegang hendal atau luncur layar mahupun snowboard.
Skrin bersaiz 38.1 mm dapat menunjukkan imej secara langsung dan memberitahu mengenai penyediaan dan status. Anda boleh memeriksa kandungan rakaman serta merta di atas skrin.


Sistem EasyButton ternyata membantu penggunaan yang intuitif dengan menu pelbagai bahasa.
Butang bersaingan untuk mengambil gambar, merakam video dan memainkan semula kandungan serta meneliti menu dan menghidupkan LED hadapan adalah sebahagian daripada cara-cara mudah mengendalikan kamera berkenaan.

Malah anda boleh merakam video dengan 60 kerangka sesaat (fps) dalam keupayaan 720p HD dan 30 fps dalam 1080p Full HD. Kamera itu juga berupaya membuat tempoh rakaman berterusan dan gambar secara berjarak atau bersiri pada jarak penggunaan yang menarik.

Banyak aksesori pilihan turut membantu anda menyesuaikan sistem kamera untuk memenuhi keperluan peribadi. Pemegang yang diberikan seperti Surf, Chest, atau Curved Mount tidak akan menyekat sesiapa pun untuk mencapai penggunaan maksimum kamera terbabit.
Kamera ini mempunyai dua slot kad 32 GB Micro SD, satu mini HDMI dan slot USB. Tidak ketinggalan dengan menggunakan slot USB dan kabel AV yang disediakan anda boleh menonton rakaman di kaca televisyen.

Selain itu, dengan adapter Ten2Ten, anda boleh menghubungkan kamera terbabit dengan semua aksesori lengkap FlyCamOne 720p HD seperti set transmisi radio, GPS dan skrin tambahan.

Sementara itu, kepada mereka gemar merakamkan video dalam air, sememangnya CamOne tidak akan menghampakan pemiliknya. Dengan menggunakan DiveBox anda boleh menyelam sehingga 40 meter tanpa sebarang aksesori tambahan kerana CamOne boleh disesuaikan dengan cahaya pembias air apabila memusing lensa secara lawan jam pada kedudukan 95 darjah.

Lensa yang boleh diubah mengikut selera membantu anda mendapatkan gambar yang diinginkan dan boleh memilih di antara lensa 96 darjah, 142 darjah dan 170 darjah. Untuk keterangan lanjut boleh hubungi Reed Motorsport di talian 03-26971999 atau layari www.facebook/camonemalaysia.

INFO TEKNIKAL

Saiz: 49 x 42 x 34 mm
Berat: 77 gram termasuk bateri
Bateri: 3,7 V 800 mAh LiPo
Format: MPEG4 or MOV (video); JPEG (photo)
Resolusi video: 720p, 720pH, 1080pS, 1080p, Time Lapse (= 1 fps)
Resolusi imej: 3, 5 and 8 MP
Fungsi: Photo, Serial Photo (3, 5, 10, 30, 60 s)
Sensor: CMOS, 5 MPix

Lensa (boleh ditukar): 170° > 720p; 127° > 1080p
Zoom: Digital 4times
Skrin: 1.5” (38 mm) TFT
Mikrofon: Mono, 48 kHz (built-in)
Slot: 10 Pin Mini USB 2.0, HDMI dan Open Connector Board (OCB)
Memori: 2x Micro SD/SDHC = 32 GB (Kelas 4 atau lebih tinggi)
Cahaya setara: Automatik

Whatsapp, Twitter saingi SMS

Whatsapp, Twitter saingi SMS
Di awal kemunculan telefon bimbit kita hanya boleh menelefon saja, kemudian memasuki pula era meninggalkan pesanan melalui pager, di mana pengguna menerima pesanan ringkas dan jika mahu mengetahui lanjut perlu menelefon ke pusat panggilan.

Mungkin bagi remaja kini, mereka tidak mengetahui mengenai perkembangan telefon bimbit dan sistem pesanan ringkas sebegini kerana teknologi kini menyediakan pelbagai kemudahan perhubungan.
Malah pernah terjadi satu tahap di mana pengguna gemar menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) berbanding menelefon kerana ia mudah dan menjimatkan.


Itu dulu, jika lihat sekarang ini semuanya masih lagi berhubung melalui telefon bibit tetapi bukan melalui SMS lagi. Pelbagai aplikasi chatting sudah boleh dimuat turun dan digunakan secara percuma.

Populariti ini sedikit sebanyak mengorbankan SMS. Fakta tersebut semakin diperkuat dengan adanya kajian yang baru saja dilakukan oleh Financial Times.

Dalam kajian tersebut dinyatakan bahawa SMS memang miliki lebih banyak pengguna dibandingkan dengan aplikasi chatting. Namun jika dikira dari jumlah pesanan yang dikirim, aplikasi chatting ternyata jauh lebih banyak.

Melalui kajian mendapati aplikasi chatting mampu mengirim sebanyak 41 bilion pesanan setiap hari. Angka tersebut dua kali ganda dibandingkan pesanan yang dikirim melalui SMS.
Fakta ini juga turut diperkuatkan dari dakwaan pihak WhatsApp yang mengatakan bahawa mereka memiliki lebih banyak pengguna berbanding Twitter. Pihak WhatsApp juga menyatakan mereka mengirimkan pesanan sebanyak 18 bilion sehari, jumlah itupun lebih banyak dibandingkan pesanan melalui Facebook sebanyak 10 bilion pesanan.

Mitos Kerusi Roda

Kajian buktikan penggunaan bawa keburukan antaranya jejas kesihatan tulang bayi

Keburukan kerusi roda bayi sudah diperkatakan sejak dulu lagi malah ia turut menjadi isu hangat didebatkan ibu bapa, khususnya di forum keibubapaan di internet.
Bagaimanapun, penggunaannya masih lagi meluas mungkin disebabkan pelbagai faktor dan paling tidak dapat dinafikan, ia dikatakan memudahkan tugas ibu bapa untuk mengawasi anak yang semakin membesar.

Keburukannya tidak boleh dilihat dalam masa yang singkat tapi percayalah, kesannya akan dirasai apabila anak itu meningkat usia," Dr Sham Yusof, Pakar fisioterapi

Di Britain, dianggarkan 235,000 kanak-kanak iaitu kira-kira 50 peratus yang berusia antara enam hingga 18 bulan menggunakan kerusi roda bayi. Alat yang direka untuk membantu bayi berjalan itu dipercayai diperkenalkan sejak 25 tahun lalu tetapi mulai popular di era 90-an.

Malahan, menjadi kemestian juga di kalangan ibu bapa di negara ini meletakkan anak kecil yang sedang belajar bertatih ke dalam kerusi roda.

Alat itu membantu bayi yang tidak pandai merangkak atau berjalan, bergerak mengelilingi rumah dengan menendang hujung kaki sambil duduk.

Terkini, kerusi beroda baru turut dilengkapi papan pemuka besar bersama peralatan permainan bagi melekakan bayi.
Ganggu fasa merangkak

Ada kajian dijalankan mendapati, bayi yang berlatih berjalan menggunakan kerusi roda lambat duduk dan merangkak. Mereka juga mendapat markah paling rendah berbanding bayi lain dalam ujian yang digunakan bagi melihat perkembangan mental dan fizikal.

Lebih membimbangkan, kerusi roda yang memberikan mereka kepuasan ‘berjalan’ di saat mereka belum bersedia untuk berjalan boleh menjejaskan corak berjalan mereka dan melambatkan fungsi kawalan otot kaki.

Perlu diketahui, bayi berjalan dengan melihat dan memahami bagaimana kaki mereka bergerak. Bayangkan bagaimana proses itu dapat dilakukan jika pemandangan itu dihalang papan pemuka kerusi roda yang pelbagai bentuk.

Mengulas mengenai perkara itu, pakar fisioterapi, Dr Sham Yusof, menasihatkan ibu bapa supaya tidak menggunakan kerusi roda untuk bayi yang masih tidak boleh berdiri sendiri.

“Penggunaan kerusi roda boleh menyebabkan betis anak menjadi melengkung. Kesan bentuk kaki melengkung akhirnya akan menjejaskan kesihatan tulang belakang, punggung dan koordinasi berjalan.

“Keburukannya tidak boleh dilihat dalam masa yang singkat tapi percayalah, kesannya akan dirasai apabila anak itu meningkat usia,” katanya.

Tambah Dr Sham, penggunaan kerusi roda turut mengganggu proses bayi merangkak sedangkan fasa berkenaan penting untuk membantu anak membentuk koordinasi fizikal, perkembangan pertuturan dan pembacaan.

Akademi Pediatrik Amerika juga tidak menyarankan penggunaan kerusi roda, selain mengganggu proses anak untuk belajar berjalan, ia juga boleh mengundang bahaya akibat terjatuh.

Hadkan pergerakan kaki

Selain saiz papan pemuka yang mengehadkan mata melihat bagaimana kaki mereka belajar melangkah, alat beroda itu juga membataskan bayi meneroka dan mencapai barangan di sekeliling, yang sebenarnya penting dalam tempoh awal perkembangan mental.

Saintis dari State University of New York yang menerbitkan kajian dalam Journal of Developmental and Behavioral Pediatrics, mengkaji perkembangan mental dan fizikal 109 bayi.

Separuh tidak pernah menggunakan kerusi roda, satu pertiga menggunakannya manakala selebihnya menggunakan kerusi roda jenis lama iaitu bayi yang menaikinya boleh melihat kaki mereka bergerak serta boleh juga mencapai objek.

Responden diuji selepas mencapai usia enam, sembilan atau 12 bulan dan sekali lagi, iaitu tiga bulan selepas ujian pertama menggunakan carta ukuran perkembangan fizikal dan mental biasa.

Ibu bapa pula diwajibkan memberi maklumat bila anak mereka mula mencapai tahap sepatutnya, misalnya merangkak.

Hasil kajian itu mendapati, kerusi roda jenis terbaru memberi kesan paling buruk terhadap bayi di mana secara purata, bayi duduk, merangkak dan berjalan lima minggu lewat berbanding bayi yang tidak pernah menggunakan alat itu dan tiga minggu lewat berbanding yang menggunakan kerusi beroda jenis lama.

Pengarang kajian, Dr Roger Burton, berkata kerusi roda jenis terbaru menyebabkan kelewatan dalam perkembangan mental dan fizikal bayi.

Malah, mereka juga mencatat markah terendah, iaitu 12 peratus lemah dalam ujian mental dan kemahiran motor berbanding mereka yang tidak pernah menggunakan alat beroda itu.

Pengguna alat beroda jenis lama pula lima peratus lebih kebelakang, berbanding yang tidak menggunakan kerusi roda.

Kajian terdahulu mengumpul data mengenai bahaya penggunaan kerusi roda dan data mendapati, 4,000 kanak-kanak dirawat kerana jatuh tangga atau terkena peralatan panas.

Kecederaan lain adalah membabitkan kepala disebabkan alat itu terbalik menyebabkan gegaran otak dan patah kaki.

Dr Burton berkata, melihatkan kesan bahaya dan data bahawa alat itu mempengaruhi perkembangan bayi, ia diharap dapat membantu ibu bapa berfikir.

Sementara itu, Dr Denise Kendrick dari Fakulti Perubatan, Nottingham University yang turut membuat kajian mengenai kerusi roda menyarankan, supaya alat itu dilarang dijual di pasaran.

“Tiada bukti menunjukkan ia mampu mengajar bayi berjalan atau bagus untuk perkembangan mereka.

“Pastinya ia tidak selamat. Ia cuma alat bagi ibu bapa yang tidak ingin anak mereka merangkak merata-rata dan langsung tiada memberi sebarang faedah,” katanya.

INFO

1. Sepanjang 1990 hingga 2001, sebanyak 200,000 kes kecederaan kanak-kanak dilaporkan di Amerika Syarikat (AS) berpunca daripada kerusi roda bayi, 3/4 disebabkan jatuh tangga.

2. Pada 1997, AS menetapkan garis panduan kepada ciri dan reka bentuk kerusi roda, antaranya - ia mesti besar supaya tidak boleh melepasi pintu atau tangga dan mempunyai brek yang dapat mengawal apabila hendak terjatuh. membabitkan reka bentuk walker yang lama (tidak menepati garis panduan).

3. Di Kanada, hukuman denda dan penjara dijatuhkan kepada mereka yang mempunyai kerusi roda bayi. Di AS juga, pakar kanak-kanak menyokong supaya alat itu tidak dijual di pasaran.

4. Garis panduan reka bentuk kerusi roda di Eropah diperbaharui pada tahun 2005. Kerusi roda direka supaya tidak bergerak laju dan ia sepatutnya berhenti (brek) apabila hendak terjatuh.

5. Antara kecederaan kanak-kanak disebabkan kerusi roda - terjatuh tangga, kecederaan kepala, kebakaran air panas (mencapai cerek atau air panas di atas meja), mencapai objek tajam di tempat tinggi, keracunan (mencapai minyak wangi dan alkohol).

3. Kerusi roda mengajar anak berjalan adalah mitos di kalangan ibu bapa saja. Ketahuilah bahawa merangkak, duduk, berguling dan bermain blok adalah lebih baik untuk perkembangan minda dan fizikal.

4. Walaupun sesetengah ibu bapa mengatakan kerusi roda selamat digunakan semasa kehadiran ibu bapa tapi kebanyakan kecederaan berlaku dengan pantas di depan ibu bapa dan anak mereka tidak dapat diselamatkan (70 peratus daripada kes di AS).

5. Di Kanada, penjualan kerusi roda bayi diharamkan sepenuhnya pada 2004

Wednesday 17 April 2013

Kod Etika Seorang Blogger

Penulis Blogger memainkan peranan penting dalam menyebarkan informasi terkini dan sebagai medium yang baru kepada sesiapa sahaja untuk menyuarakan pandangan atau pendapat mereka.Tidak kiralah yang baik ataupun buruk.Oleh yang demikian, Dato seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sudah mula mengambil berat mengenai isu yang berkaitan dengan etika seorang Bloggger di Malaysia.


Antara Kod Etika Blogger yang dicadangkan oleh beliau adalah seperti berikut:

* Penulis blog perlu jujur dan adil dalam mengumpul, melapor dan menterjemahkan maklumat.

* Tidak memplagiat hasil tulisan.

* Mengenal pasti sumber yang boleh dipercayai.

* Tidak menerbitkan maklumat tidak tepat.

* Membezakan antara maklumat sokongan, komentari dan fakta.

* Mengakui sebarang kesilapan dan membuat pembetulan dengan segera.

* Menerangkan tujuan blog dan membuka perbincangan mengenainya kepada penulis blog lain dan orang ramai.

* Memberitahu sebarang aktiviti yang diadakan, kerjasama dan juga agenda peribadi mengenai blog.

* Berhati-hati dalam menyiarkan maklumat sensasi yang boleh memberi kesan pada mana-mana pihak.

Kod Etika yang disarankan oleh beliau diharap menjadi garis panduan dalam menulis ' entri' dalam penulisan blog.

Kod Etika Blogger ini dikeluarkan setelah beliau tertarik dengan artikel A Bloggers’ Code of Ethics yang ditulis oleh CyberJournalist yang menyentuh mengenai etika dalam dunia penulisan blog.

Pada pandangan peribadi saya, Kod Etika Blogger perlu terutamanya kepada penulis Blog yang menulis artikel yang berbaur politik, menyentuh isu sensitif perkauman di Malaysia, hiburan dan isu-isu semasa. Selain itu, isu-isu yang diutarakan oleh Blogger dalam menyatakan dan memberikan pandangan peribadi mereka terhadap isu yang dinyatakan sebentar tadi.

Namun begitu, dengan adanya kod etika sebegini, sedikit sebanyak memberikan garis panduan kepada para pengendali blog di Malaysia dalam menulis artikel blog mereka. Terutamanya bagi mereka yang baru menceburi bidang penulisan blog di tanah air.

Thursday 14 March 2013

Sihat Sepanjang Hayat - Kualiti terbaik pada kadar paling rendah

Sihat Sepanjang Hayat - Kualiti terbaik pada kadar paling rendah Cetak E-mail
Ditulis oleh SMR   
Kerajaan memperuntukkan RM10.28 bilion bagi pelaksanaan program kesihatan awam dalam tempoh RMK-9. Dengan kadar bayaran serendah RM1, warganegara Malaysia berhak mendapat rawatan dan ubat-ubatan percuma di klinik atau hospital kerajaan.
Tabung Bantuan Perubatan (TBP) sebanyak RM100 juta juga disediakan kepada warga miskin yang menghidap penyakit kronik seperti penyakit barah, kencing manis, jantung dan angin ahmar yang dikenalpasti menjadi penyebab kematian yang tinggi. Tabung ini membolehkan pesakit membiayai sepenuhnya atau sebahagian kos rawatan, pembelian ubat-ubatan atau peralatan perubatan.
Rakyat Malaysia juga dapat menikmati kemudahan kesihatan dengan pelaksanaan projek-projek kesihatan utama Rancangan Malaysia Ke-9 yang dimulakan sejak tahun 2006 lagi. Ini termasuk penubuhan Institut Kanser Negara, Institut Kebangsaan Produk-Produk Asli dan Biologikal, pembinaan hospital-hospital gantian dan baru dan institusi latihan kesihatan. Pada 2007 tiga hospital baru akan dibina dengan peruntukan RM125 juta di Shah Alam, Selangor; Pendang, Kedah dan di Permai, Johor.
Bagi meningkatkan accessibility untuk rawatan perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia juga akan memperluas dan memperkukuhkan perkhidmatan klinik kesihatan bergerak di kawasan bandar dan kawasan luar bandar.  Program perluasan ini akan dilaksanakan secara berfasa mulai dari tahun 2006 hingga 2008 dan mempunyai sasaran satu pasukan bagi setiap 500,000 penduduk.
Kerajaan mensasarkan sebanyak 35 pasukan ditubuhkan pada setiap tahun bagi 2006 dan 2007 manakala 26 pasukan akan ditubuhkan bagi tahun 2008. Ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM6.3 juta bagi tahun 2006 sahaja.
Pemeriksaan kesihatan secara percuma ini dikhaskan kepada rakyat di luar bandar dan kawasan terpencil mengenai kepentingan penjagaan kesihatan, pengambilan makanan yang sihat dan seimbang dan yang mustahak mampu mengesan penyakit kronik di peringkat awal.

Pemodenan Pertanian - Perkasa jentera pertumbuhan negara

Pemodenan Pertanian - Perkasa jentera pertumbuhan negara Cetak E-mail
Ditulis oleh SMR   
Selaras dengan penekanan baru ke atas pertanian dan sumbangannya kepada pertumbuhan ekonomi ketiga negara, RM11.4 bilion dalam RMK-9 akan disediakan bagi melaksanakan pelbagai program dan projek pertanian. Pada akhir tempoh RMK-8, sektor perbankan menyediakan kredit RM56.3 bilion untuk projek pertanian. Bank Pertanian Malaysia (BPM) pula mengeluarkan sejumlah RM3.4 bilion bagi meningkatkan pejenteraan ladang, menggalakkan penyertaan Bumiputera dan penyertaan siswazah dalam pertanian komersil serta menyediakan kredit mikro untuk pengeluaran makanan dan bantuan kewangan kepada EKS berasaskan pertanian.
Dana khas turut diwujudkan untuk memberi bantuan kewangan kepada petani, pekebun kecil dan  nelayan misalnya Dana Nelayan, RM63 juta telah memberi manfaat kepada 3,074 nelayan dan Kumpulan Wang Pinjaman Pertubuhan Peladang menyediakan pinjaman bernilai RM79.6 juta kepada pertubuhan peladang.
Sejumlah RM88.6 juta juga telah dikeluarkan kepada 642 petani dan usahawan di bawah Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED). Tabung ini digunakan untuk membantu usahawan yang terlibat dalam aktiviti pertanian, pembuatan, perkhidmatan dan pelancongan desa untuk memulakan dan memperkembang perniagaan. RM453 juta telah dibelanjakan untuk pelbagai projek pengairan dan saliran pertanian serta sumber air bagi meningkatkan kawalan banjir dan bekalan air.
Sejumlah 260,930 usahawan dan petani telah dilatih di bawah program Latihan dan Khidmat  Pengembangan. Empat institusi latihan pertanian melaksanakan Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan berdasarkan Piawaian Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) mulai tahun 2004. Semenjak pengenalannya, sejumlah 564 pelatih telah mendaftar dalam kursus berkaitan perikanan, sayur-sayuran, ternakan, pemprosesan makanan dan pemasaran.