Monday 6 May 2013

Mitos Kerusi Roda

Kajian buktikan penggunaan bawa keburukan antaranya jejas kesihatan tulang bayi

Keburukan kerusi roda bayi sudah diperkatakan sejak dulu lagi malah ia turut menjadi isu hangat didebatkan ibu bapa, khususnya di forum keibubapaan di internet.
Bagaimanapun, penggunaannya masih lagi meluas mungkin disebabkan pelbagai faktor dan paling tidak dapat dinafikan, ia dikatakan memudahkan tugas ibu bapa untuk mengawasi anak yang semakin membesar.

Keburukannya tidak boleh dilihat dalam masa yang singkat tapi percayalah, kesannya akan dirasai apabila anak itu meningkat usia," Dr Sham Yusof, Pakar fisioterapi

Di Britain, dianggarkan 235,000 kanak-kanak iaitu kira-kira 50 peratus yang berusia antara enam hingga 18 bulan menggunakan kerusi roda bayi. Alat yang direka untuk membantu bayi berjalan itu dipercayai diperkenalkan sejak 25 tahun lalu tetapi mulai popular di era 90-an.

Malahan, menjadi kemestian juga di kalangan ibu bapa di negara ini meletakkan anak kecil yang sedang belajar bertatih ke dalam kerusi roda.

Alat itu membantu bayi yang tidak pandai merangkak atau berjalan, bergerak mengelilingi rumah dengan menendang hujung kaki sambil duduk.

Terkini, kerusi beroda baru turut dilengkapi papan pemuka besar bersama peralatan permainan bagi melekakan bayi.
Ganggu fasa merangkak

Ada kajian dijalankan mendapati, bayi yang berlatih berjalan menggunakan kerusi roda lambat duduk dan merangkak. Mereka juga mendapat markah paling rendah berbanding bayi lain dalam ujian yang digunakan bagi melihat perkembangan mental dan fizikal.

Lebih membimbangkan, kerusi roda yang memberikan mereka kepuasan ‘berjalan’ di saat mereka belum bersedia untuk berjalan boleh menjejaskan corak berjalan mereka dan melambatkan fungsi kawalan otot kaki.

Perlu diketahui, bayi berjalan dengan melihat dan memahami bagaimana kaki mereka bergerak. Bayangkan bagaimana proses itu dapat dilakukan jika pemandangan itu dihalang papan pemuka kerusi roda yang pelbagai bentuk.

Mengulas mengenai perkara itu, pakar fisioterapi, Dr Sham Yusof, menasihatkan ibu bapa supaya tidak menggunakan kerusi roda untuk bayi yang masih tidak boleh berdiri sendiri.

“Penggunaan kerusi roda boleh menyebabkan betis anak menjadi melengkung. Kesan bentuk kaki melengkung akhirnya akan menjejaskan kesihatan tulang belakang, punggung dan koordinasi berjalan.

“Keburukannya tidak boleh dilihat dalam masa yang singkat tapi percayalah, kesannya akan dirasai apabila anak itu meningkat usia,” katanya.

Tambah Dr Sham, penggunaan kerusi roda turut mengganggu proses bayi merangkak sedangkan fasa berkenaan penting untuk membantu anak membentuk koordinasi fizikal, perkembangan pertuturan dan pembacaan.

Akademi Pediatrik Amerika juga tidak menyarankan penggunaan kerusi roda, selain mengganggu proses anak untuk belajar berjalan, ia juga boleh mengundang bahaya akibat terjatuh.

Hadkan pergerakan kaki

Selain saiz papan pemuka yang mengehadkan mata melihat bagaimana kaki mereka belajar melangkah, alat beroda itu juga membataskan bayi meneroka dan mencapai barangan di sekeliling, yang sebenarnya penting dalam tempoh awal perkembangan mental.

Saintis dari State University of New York yang menerbitkan kajian dalam Journal of Developmental and Behavioral Pediatrics, mengkaji perkembangan mental dan fizikal 109 bayi.

Separuh tidak pernah menggunakan kerusi roda, satu pertiga menggunakannya manakala selebihnya menggunakan kerusi roda jenis lama iaitu bayi yang menaikinya boleh melihat kaki mereka bergerak serta boleh juga mencapai objek.

Responden diuji selepas mencapai usia enam, sembilan atau 12 bulan dan sekali lagi, iaitu tiga bulan selepas ujian pertama menggunakan carta ukuran perkembangan fizikal dan mental biasa.

Ibu bapa pula diwajibkan memberi maklumat bila anak mereka mula mencapai tahap sepatutnya, misalnya merangkak.

Hasil kajian itu mendapati, kerusi roda jenis terbaru memberi kesan paling buruk terhadap bayi di mana secara purata, bayi duduk, merangkak dan berjalan lima minggu lewat berbanding bayi yang tidak pernah menggunakan alat itu dan tiga minggu lewat berbanding yang menggunakan kerusi beroda jenis lama.

Pengarang kajian, Dr Roger Burton, berkata kerusi roda jenis terbaru menyebabkan kelewatan dalam perkembangan mental dan fizikal bayi.

Malah, mereka juga mencatat markah terendah, iaitu 12 peratus lemah dalam ujian mental dan kemahiran motor berbanding mereka yang tidak pernah menggunakan alat beroda itu.

Pengguna alat beroda jenis lama pula lima peratus lebih kebelakang, berbanding yang tidak menggunakan kerusi roda.

Kajian terdahulu mengumpul data mengenai bahaya penggunaan kerusi roda dan data mendapati, 4,000 kanak-kanak dirawat kerana jatuh tangga atau terkena peralatan panas.

Kecederaan lain adalah membabitkan kepala disebabkan alat itu terbalik menyebabkan gegaran otak dan patah kaki.

Dr Burton berkata, melihatkan kesan bahaya dan data bahawa alat itu mempengaruhi perkembangan bayi, ia diharap dapat membantu ibu bapa berfikir.

Sementara itu, Dr Denise Kendrick dari Fakulti Perubatan, Nottingham University yang turut membuat kajian mengenai kerusi roda menyarankan, supaya alat itu dilarang dijual di pasaran.

“Tiada bukti menunjukkan ia mampu mengajar bayi berjalan atau bagus untuk perkembangan mereka.

“Pastinya ia tidak selamat. Ia cuma alat bagi ibu bapa yang tidak ingin anak mereka merangkak merata-rata dan langsung tiada memberi sebarang faedah,” katanya.

INFO

1. Sepanjang 1990 hingga 2001, sebanyak 200,000 kes kecederaan kanak-kanak dilaporkan di Amerika Syarikat (AS) berpunca daripada kerusi roda bayi, 3/4 disebabkan jatuh tangga.

2. Pada 1997, AS menetapkan garis panduan kepada ciri dan reka bentuk kerusi roda, antaranya - ia mesti besar supaya tidak boleh melepasi pintu atau tangga dan mempunyai brek yang dapat mengawal apabila hendak terjatuh. membabitkan reka bentuk walker yang lama (tidak menepati garis panduan).

3. Di Kanada, hukuman denda dan penjara dijatuhkan kepada mereka yang mempunyai kerusi roda bayi. Di AS juga, pakar kanak-kanak menyokong supaya alat itu tidak dijual di pasaran.

4. Garis panduan reka bentuk kerusi roda di Eropah diperbaharui pada tahun 2005. Kerusi roda direka supaya tidak bergerak laju dan ia sepatutnya berhenti (brek) apabila hendak terjatuh.

5. Antara kecederaan kanak-kanak disebabkan kerusi roda - terjatuh tangga, kecederaan kepala, kebakaran air panas (mencapai cerek atau air panas di atas meja), mencapai objek tajam di tempat tinggi, keracunan (mencapai minyak wangi dan alkohol).

3. Kerusi roda mengajar anak berjalan adalah mitos di kalangan ibu bapa saja. Ketahuilah bahawa merangkak, duduk, berguling dan bermain blok adalah lebih baik untuk perkembangan minda dan fizikal.

4. Walaupun sesetengah ibu bapa mengatakan kerusi roda selamat digunakan semasa kehadiran ibu bapa tapi kebanyakan kecederaan berlaku dengan pantas di depan ibu bapa dan anak mereka tidak dapat diselamatkan (70 peratus daripada kes di AS).

5. Di Kanada, penjualan kerusi roda bayi diharamkan sepenuhnya pada 2004

No comments:

Post a Comment